Perkara pertama bagi saya paling penting untuk saya ketengahkan dalam menjaga kesihatan kita ialah air.
Air merupakan satu aset yang sangat penting dalam hidup kita. Namun kepentingannya seolah-olah diabaikan begitu sahaja.
Mungkin bagi kebanyakan kita, air seolah-olah tidak memainkan peranan yang begitu penting. Namun pada hakikatnya air, selain oksigen, merupakan bahan yang paling penting yang diperlukan oleh setiap manusia sepanjang hayatnya.
Malangnya air sering diabaikan dalam diet, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Dalam kajian yang dilakukan di Hong Kong baru-baru ini, hanya 50 peratus daripada mereka yang ditinjau minum air sebanyak lapan gelas sehari. Manakala, yang lain-lainnya hanya minum apabila berasa dahaga saja.
Sebenarnya, kita perlu memberikan perhatian terhadap kebaikan minum air dan menggalakkan kanak-kanak berbuat sedemikian. Amalan minum air yang cukup akan dapat menghindarkan berlakunya pendehidtratan dan mengekalkan amalan membuang air besar. Di samping itu, kesihatan kulit dan rambut akan terjaga.
Kita memperoleh air daripada cecair seperti air paip, susu, jus buah-buahan, kordial, minuman ringan dan sup. Makanan seperti nasi, roti, mi, buah-buahan, dan sayur-sayuran turut mempunyai sedikit air walaupun tidak cukup untuk memenuhi keperluan cecair kita.
Air membentuk kira-kira 55-57 peratus daripada berat badan kita dan mempunyai peranan yang penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Air melaraskan suhu badan di samping membawa nutrien dan oksigen ke sel, serta menghapuskan sisa.
Air turut melindungi sendi serta mengawal organ dan tisu. Tanpa makanan, manusia dapat hidup selama lapan minggu, tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari.
Jumlah air yang hilang sebagai keringat adalah berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bergantung juga pada suasana sekitar, tahap kegiatan, dan saiz badan.
Dalam kegiatan biasa, kita mengeluarkan kira-kira 500-600 ml peluh sehari. Input air perlulah sekurang-kurangnya sama dengan output air.
Orang dewasa biasanya memerlukan air antara 8-12 gelas sehari. Jumlah air yang diperlukan oleh kanak-kanak pula bergantung pada umur, berat, dan kegiatan fizikal mereka. Oleh sebab saiz tubuh mereka adalah kecil, mereka akan mengalami pendehidratan yang cepat.
Selain itu, keperluan air meningkat sekiranya kita banyak menghabiskan masa di luar rumah dalam cuaca panas, kerap bersenam, atau berada dalam bilik yang berhawa dingin.
Meminum minuman yang bersih dan selamat adalah penting kerana kebanyakan penyakit adalah bawaan air. Masa yang terbaik bagi kita untuk minum air ialah sebelum kita berasa dahaga.
No comments:
Post a Comment